Umum sering menganggap kitaran haid normal ialah setiap 28 hari. Hakikatnya, kitaran haid yang lazim adalah antara 25 hingga 35 hari! Untuk mengetahui waktu subur, wanita perlu memahami terlebih dahulu apa yang berlaku dari hari pertama haid sehingga hari pertama haid berikutnya.
Seawal hari pertama haid, sekumpulan telur baru (8 - 15 telur) telah memulakan proses pembesaran. Di kalangan wanita subur, hanya satu telur terus membesar dan mengalami ovulasi (tanpa rangsangan ubat). Telur-telur yang lain akan mengalah dan tidak menjadi. Bagi wanita yang tidak subur, tiada satu pun telur yang akan membesar.
Pada masa yang sama, fasa proliferatif di mana lapisan endometrium di bahagian paling dalam dinding rahim akan menebal kesan rangsangan hormon estrogen. Setelah ovulasi, hormon progesteron yang dihasilkan oleh kantung luteal, ovari akan mematangkan lapisan endometrium (fasa luteal). Ini sebagai persediaan menerima kehadiran embrio.
Jika tidak hamil, ia akan gugur sebagai haid. Tempoh fasa proliferatif tidak semestinya sama bagi setiap wanita subur. Namun, tempoh fasa luteal biasanya sama iaitu 14 hari. Ini bermakna, setelah 14 hari berlaku ovulasi, tempoh luteal tamat dan wanita akan haid jika tidak hamil.
Ini turut bererti, waktu subur lebih tepat dikira sekitar 14 hari sebelum jangkaan haid berikutnya. Waktu ovulasi adalah waktu paling subur. Jika kitaran haid wanita adalah setiap 28 hari, waktu ovulasinya adalah pada hari ke-14 (28 tolak 14). Bagi wanita yang kitaran haidnya 35 hari, waktu ovulasinya adalah pada hari ke-21 (35 tolak 14). Dalam pada itu, ada wanita menyangka jika haid mereka datang pada setiap haribulan yang sama, maka kitaran haidnya tetap! Ini tidak benar kerana ada bulan yang mempunyai 30, 31, 28 atau 29 hari.
Seelok-eloknya wanita mencatat hari pertama haid setiap kitaran selama 6 bulan untuk mengetahui jumlah hari kitaran paling pendek dan paling panjang. Kalendar kitaran haid Maklumat berikut perlu diketahui sebelum memahami waktu subur. Paling subur Dari 72 jam (tiga hari) sebelum ovulasi sehingga 24 jam selepas ovulasi. Jika sperma ada di dalam tiub falopian dari 72 jam sebelum ovulasi pun, persenyawaan masih boleh berlaku kerana hayat sperma masih ada.
Waktu berjaga-jaga Dalam tempoh 5 hari sebelum ovulasi sehingga 2 hari selepas ovulasi. Ovulasi masih boleh berlaku (bukannya tepat) sekitar 14 hari sebelum jangkaan. Paling kurang subur Lebih 5 hari sebelum ovulasi atau lebih 2 hari selepas ovulasi.
UJIAN... UJIAN...
1.Air kencing Pada saat akhir menghampiri ovulasi, berlaku proses LH surge di mana paras hormon LH meningkat secara mendadak sehingga mencetus ovulasi. Kehadiran LH surge dikatakan berlaku apabila kelihatan jalur berwarna yang sama atau lebih jelas daripada jalur neutral di kit khas yang digunakan dalam ujian ini. Ketepatan ujian boleh terganggu dengan kehadiran faktor-faktor yang mengubah paras hormon LH di dalam tubuh seperti kehamilan, menopaus, penyakit-penyakit tertentu (PCOS), ubat kesuburan, ubat-ubatan mengandungi hCG atau LH dan lain-lain.
Waktu bacaan juga boleh mengubah warna dan kepekatan jalur bacaan. Memandangkan LH sedia ada di dalam tubuh, tidak mustahil jalur berwarna samar kelihatan seawal ujian pertama. Dalam keadaan ini, ujian dianggap negatif. Ia tidak sama seperti ujian air kencing untuk kehamilan. Perubahan keputusan daripada negatif pada hari-hari sebelum LH surge sehingga hari di mana ujian menjadi positif menunjukkan ovulasi semakin hampir dan mungkin berlaku dalam masa 24 - 48 jam.
Oleh itu, pasangan suami isteri perlu melakukan hubungan intim bermula beberapa hari sebelum ovulasi. Namun, bilangan kitaran haid seeloknya diketahui agar tidak berlaku pembaziran akibat menggunakan terlalu banyak keping kit ujian. Bagi wanita yang diketahui mempunyai masalah pembesaran telur dan ovulasi, kaedah ini tidak sesuai digunakan bersendirian tanpa bantuan ubatan atau teknik pemantauan yang lebih berkesan. Persiapan Menyambut Orang Baru
Barang bayi dah beli ke belum? Berapa pasang baju bayi yang dah beli? Nak bersalin di hospital mana nanti? Dah pilih ke nama bayi? Inilah antara soalan-soalan yang biasa ditanyakan kepada bakal-bakal ibu terutamanya yang baru pertama kali hamil. Disebabkan terlalu kerap bertanyakan persiapan menyambut kelahiran bayi dari segi material, maka ramai yang beranggapan hal ini sangat-sangat penting. Tidak ada yang lain yang lebih penting.
Tapi, benarkah persiapan material ini begitu penting sehingga semua orang mesti bertanyakan tentangnya terutama sekali ketika hampir tiba saat melahirkan? Tidakkah anda semua pernah terfikir tentang perkara-perkara lain? Tentang persiapan emosi dan persiapan spiritual contohnya?
Mungkin ramai di antara kita tahu mengenainya tetapi tidak rasakan perkara ini perlu diketengahkan kerana ia ada kaitan dengan aspek dalaman atau soal hati dan perasaan seseorang. Takut tersentuh kalau tersilap cakap. Tapi, inilah hakikat yang sebenarnya.
Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada ketiga-tiga aspek ini iaitu IQ (Intelligence Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient). Lagipun, manusia kan mudah lupa. Jadi, tidak salah jika kita saling ingat mengingati antara satu sama lain.
Ketahuilah bahawa IQ, EQ dan SQ perlu berjalan seiring agar tidak berat sebelah dan memastikan kita sentiasa berada di landasan yang sepatutnya. IQ atau kecerdasan intelektual ini berkaitan dengan kepintaran otak untuk melakukan sesuatu.
Secara ringkasnya, apa yang anda fikirkan dan bagaimana untuk mencapainya? Bagi ibu-ibu hamil atau bakal bapa, apakah yang anda rasakan perlu bagi seseorang bayi itu dari segi keperluan materialnya? Misalnya baju, katil dan barangan penjagaan dirinya. Untuk menyediakan barang-barang ini, kita perlukan kecerdikan akal. Fikir bagaimana cara terbaik dan bersih untuk mencari wang bagi menyediakan semua kelengkapan itu.
EQ pula ialah kecerdasan emosi. Kecerdasan emosi sangat berkaitan dengan apa yang anda rasa? Apa yang anda sebagai ibu hamil dan bakal bapa rasa sepanjang tempoh kehamilan? Apakah perasaan anda berdua? Bersedia kah anda menerima kehadiran seorang anak? Cukup bersedia kah anda berdua berhadapan dengan situasi baru yang sangat berbeza dan menguji kesabaran?
Kecerdasan spiritual atau SQ pula adalah kemahiran untuk mengenal diri sendiri. Siapa diri anda yang sebenar dan siapa pula anak yang bakal dilahirkan itu? Jika anda kenal siapa diri anda pastinya anda akan berusaha menyiapkan diri sebaiknya untuk memikul tanggung jawab yang telah diamanahkan oleh Maha Pencipta.
| |